Conte Bergayut Seperti Budak-Budak Kerana Terlalu Gembira ‘Perjudian’ Mendapat Pulangan

Antonio Conte bukanlah asing untuk babak-babak meraikan gol dengan cara penuh girang. Namun untuk bergayut seperti semalam ia adalah pertama kali.

Ini selepas jaringan kemenangan lewat oleh Gary Cahill selepas pemain-pemain Stoke gagal mengeluarkan sepakan penjuru Fabregas.

Gary Cahill berkata:

“Kemenangan ini terlalu bermakna untkuk kami. Lihatlah kegirangan semua orang ketika meraikannya.”

Antonio Conte pula menyatakan beliau meraikan gol seperti budak-budak kerana para pemainnya sangat memahami kehendak dan falsafah taktikal beliau.

Conte berkata:

“Pemain-pemain saya memahami idea bola sepak yang saya mahukan. Mereka sudah mengadaptasi sistem saya dengan baik.”

“Dalam filosofi bola sepak saya, saya mahukan pasukan membina sesuatu yang penting pada produk akhir.”

Conte mengakui sistem 3-4-3 beliau kurang berkesan di dalam perlawanan menentang Stoke semalam dan menukarkannya kepada sistem bek berempat selepas 20 minit separuh masa kedua.

Oleh itu, Conte menggantikan bek sayap Moses dan memasukkan pemain perancang tengah Fabregas.

“Ini bukan yang pertama kali kami terpaksa menukar sistem 3-4-3. Ia juga berlaku ketika menentang Burnley.”

“Dalam setiap perlawanan, jika anda rasakan taktikal anda kurang menjadi dan anda tetap mahukan 3 mata, anda perlu mengambil risiko dengan melakukan perubahan.”

“Ketika melakukan perubahan ini, anda mungkin akan mendapat hasil lebih baik ataupun berkemungkinan akan dihukum pihak lawan. Ianya adalah perjudian (gamble) dan mengambil risiko.”

“Namun saya sentiasa akan mengambil risiko demi 3 mata.”

“Selain itu, saya juga akan melakukan perubahan kerana mahu mempertahankan 3 mata.”

Chelsea secara matematiknya hanya perlu menang 7 perlawanan lagi sekiranya Spurs pun menang kesemua 7 perlawanan berikutnya.

Baca juga: Hashim Mustapha, Kisah Daripada Hanya ‘Budak Tingkatan 4’ Kepada Budak Emas !

The post Conte Bergayut Seperti Budak-Budak Kerana Terlalu Gembira ‘Perjudian’ Mendapat Pulangan appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Kenapa Pasukan Di Liga Australia Terlalu Sedikit?

Selain dari J-League di Jepun, K-League Classic dan Thai League. Liga Australia atau A-League sering mendapat perhatian di negara kita.

Barangkali kerana terdapat pemain-pemain yang berasal dari liga tersebut datang ke liga Malaysia, ia menyebabkan liga tersebut dikenali oleh rakyat Malaysia.

Tempoh hari kami mendapat pertanyaan di laman Instagram kami mengenai, kenapa pasukan di A-League terlalu sedikit?

Semuanya kami terangkan secara ringkas dalam artikel ini.

Evolusi

Ya, memang pasukan di A-League sedikit. Mereka cuma ada 10 pasukan sahaja berbanding jumlah pasukan di Liga Super iaitu 12 pasukan.

Hal ini kerana, A-League merupakan liga baharu yang ditubuhkan pada 2004 iaitu tahun yang sama Liga Super di negara kita diwujudkan.

A-League ditubuhkan selepas kejatuhan liga tradisional bola sepak Australia iaitu National Soccer League (NSL) yang dimainkan sejak 1977.

NSL merupakan liga bola sepak Australia yang mempunyai 42 pasukan di dalamnya. Ia menjadi nadi kepada pembangunan bola sepak di Australia sehingga awal 2000-an.

Pada awal 2000-an, NSL menjadi goyah kerana beberapa perkara:

  • Penghijrahan kebanyakan pemain Australia ke liga luar
  • Kegagalan perjanjian siaran langsung dengan saluran televisyen tempatan
  • Kekurangan penajaan dari penaja-penaja
  • Pembatalan hak Australia sebagai tuan FIFA Club World Championship pada 2001

Bermula semula

A-League diumumkan bakal menjadi liga bola sepak di Australia pada 2004. Musim bola sepak mereka bakal dimulakan dengan musim sulung pada 2005.

Ketika itu, pihak penganjur hanya membuka 8 tempat sahaja untuk pasukan-pasukan di Australia memasuki liga tersebut. Dan setiap 8 tempat tersebut diisi dengan pasukan dari 8 bandar yang berbeza.

Dalam bahasa mudahnya, A-League menggunakan polisi “satu bandar, satu pasukan” ketika itu.

Hal inilah yang menjadi punca mengapa A-League hanya mempunyai bilangan pasukan yang sedikit sahaja.

8 pasukan yang menyertai A-League di musim sulungannya adalah:

  • Adelaide United – bandar Adelaide
  • Melbourne Victory -bandar Melbourne
  • Central Coast Mariners – bandar Central Coast
  • Newcastle Jets – bandar Newcastle
  • New Zealand Knights – wakil dari New Zealand
  • Perth Glory – bandar Perth
  • Queensland Roar (berevolusi menjadi Brisbane Roar) – bandar Queensland
  • Sydney FC – bandar Sydney

Namun begitu, A-League semakin berkembang dengan beberapa lagi pasukan menyertai liga tersebut seperti Wellington Phoenix, Melbourne City dan Western Sydney Wanderers.

Namun begitu, kehadiran pasukan-pasukan tersebut dibayangi dengan pemergian beberapa pasukan seperti New Zealand Knights yang digantikan dengan Wellington Phoenix.

Selain itu, pasukan seperti Melbourne Heart dan North Queensland Fury tidak berjaya untuk bermain walau 1 perlawanan pun di A-League. Hal ini kerana, lesen mereka telah ditarik balik sebelum mereka sempat beraksi.

Kecil tetapi besar

A-League merupakan liga yang lazimnya dilangsungkan bermula dari Oktober hingga ke April tahun berikutnya.

Fasa pertama A-League adalah proses setiap pasukan perlu bermain 27 perlawanan sesama pasukan yang lain di dalam liga.

Fasa kedua kejohanan adalah apabila pasukan-pasukan memasuki fasa playoff. Untuk peringkat ini, hanya 6 pasukan terbaik dalam kedudukan akhir pusingan fasa pertama layak untuk ke fasa playoff untuk merebut hadiah utama.

Dalam konteks bola sepak Australia, juara kepada fasa pertama atau liga dikenali sebagai ‘juara perdana’. Manakala pemenang bagi playoff pula dikenali sebagai ‘juara utama’.

Walaupun pemenang playoff lebih dianggap sebagai juara sebenar di Australia. Namun tidak bagi pihak AFC.

Pihak AFC hanya memberikan tempat automatik di AFC Champions League buat ‘juara perdana’ sahaja. Namun bagi ‘juara utama’, mereka perlu memasuki peringkat kelayakan untuk ke peringkat kumpulan AFC Champions League.

Di Australia, mereka tidak mempunyai divisyen bawahan dalam piramid bola sepak mereka. Dalam masa yang sama, A-League juga tidak ada sistem penyingkiran dan promosi – sama seperti Major League Soccer di Amerika Syarikat.

Namun begitu, di Autsralia terdapat kejohanan piala nasional yang dikenali sebagai FFA Cup serta kejohanan pra-musim iaitu A-League Pre Season Challenge.

Seperti di kebanyakan negara, A-League juga mempunyai liga untuk pembangunan pemain muda. Kesemua pasukan-pasukan di A-League beraksi di National Youth League.

Jawab soalan kuiz #BolaVaganza dan menang!

Untuk pengetahuan anda, app Inikan Bola sedang menganjurkan kuiz #BolaVaganza yang menawarkan hadiah-hadaiah lumayan kepada peminat bola sepak tempatan tegar.

Bagaimana cara untuk menang hadiah lumayan ini?

Muat turun app Inikan Bola di Google Play Store dan sertai kuiz #BolaVaganza sekarang!

Baca juga: Nutmeg, Bagaimana 6 Bahasa Berbeza Menyebutnya

The post Kenapa Pasukan Di Liga Australia Terlalu Sedikit? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Shunsuke Nakamura: Lagenda Yang Terlalu ‘Kurus’ Untuk Troussier

Nota editor: Artikel ini telah ditulis oleh pembaca kami, Justine Pengiran Igai. Beliau membesar dengan mengharapkan satu hari, kita juga mempunyai Shunsuke Nakamura versi kita sendiri.

Bagi sesiapa yang menyaksikan kemenangan 4-0 Yokohama F. Marinos ke atas Urawa Reds pada Sabtu lepas, memori menyaksikan Shunsuke Nakamura di Reggina dan Celtic pasti berulang semula.

Pada usia 37 tahun, sentuhan magik Nakamura dalam sepakan percuma masih tidak hilang.

Nakamura menjaringkan gol pertama pasukannya pada minit 28′ melalui – sudah tentulah – sepakan percuma.

Siapa Shunsuke Nakamura?

Shunsuke Nakamura dilahirkan dan dibesarkan di Yokohama, Jepun. Sejak berusia 5 tahun, Nakamura bermain dengan pasukan kelab belia tempatan, Misono FC.

Pada tahun usia 12 tahun, Nakamura menyertai pasukan belia Nissan FC. Nissan FC merupakan pasukan pelapis muda untuk Nissan Motors. Selepas penubuhan J League pada 1993, Nissan Motors dikenali sebagai Yokohama F. Marinos.

Baca: SEJARAH J LEAGUE: BAGAIMANA JEPUN MEMULAKAN LIGA BOLA SEPAK MEREKA

Bagaimanapun, Nakamura tidak terus diserap masuk ke pasukan belia Nissan FC pada tahun 1994.

Nakamura kemudiannya mendaftar di Toko Gakuen High School di Kawasaki. Di sana, Nakamura telah dinamakan sebagai pemain paling bernilai kejohanan bola sepak sekolah tinggi Jepun pada tahun 1995. Pada 1996, beliau membawa sekolahnya ke perlawanan akhir kejohanan itu.

Selepas tamat pengajian dari Toko Gakuen pada 1997, Nakamura ditawarkan kontrak profesional dengan kelab tempatannya. Ke mana lagi kalau bukan Yokohama F. Marinos.

“Dia boleh buka tin kacang dengan kaki kirinya”

Pada usia 19 tahun, Nakamura sudah membuat 27 penampilan dan menjaringkan 5 gol.

3 tahun kemudian, Nakamura dinobatkan sebagai pemain terbaik J League. Kehebatannya diakui sendiri oleh Steve Perryman, bekas pemain Tottenham Hotspurs yang mengurus Shimizu S-Pulse.

Menurut Perryman:

“Tekniknya sangat bagus sehinggakan saya rasa dia boleh buka tin kacang dengan kaki kirinya saja.”

Berkelana ke Eropah

Semuanya bermula kerana Philippe Troussier.

Walaupun Nakamura membantu Jepun memenangi Piala Asia 2000, Troussier percaya Nakamura tidak mempunyai stamina dan kekuatan untuk bermain dalam taktikal defensifnya.

Ketika Jepun membuat persiapan untuk Piala Dunia 2002, Nakamura menjaringkan 2 gol dalam 4 perlawanan pemanas badan. Pada perlawanan terakhir, Nakamura cedera.

Meskipun beliau sepatutnya boleh sembuh sebelum perlawanan pertama Piala Dunia 2002, Nakamura tetap diketepikan oleh Troussier. Rakyat Jepun begitu kecewa dengan keputusan Troussier.

Bermula dari itulah, Nakamura nekad untuk membuktikan kemampuannya di Eropah. Bermula di Reggina yang baru naik ke Serie A.

Jangkaan peminat Reggina terhadap Nakamura tinggi. Terutamanya selepas Nakamura diberi jersi no.10. Dan Nakamura memang tidak mengecewakan.

Sepanjang Nakamura di Reggina, pasukannya tidak pernah tersingkir kembali ke Serie B. Bermain di belakang Gianluca Savoldi dan Emiliano Bonazzoli dalam formasi 4-3-1-2, Nakamura adalah chief playmaker untuk Reggina selama 3 musim.

Uji diri di Scotland

Berita tentang adanya playmaker dari Asia yang mempunyai visi, kemahiran teknikal dan kerajinan untuk bertahan yang tinggi sampai ke pengetahuan pengurus Atletico Madrid, Deportivo la Coruna, Borussia Dortmund dan Borussia Mönchengladbach.

Tetapi Nakamura memilih Celtic. Sekali lagi, beliau mahu menguji dirinya di liga yang lebih fizikal dari Serie A.

Bagi ketua jurulatih Jepun, Zico, pengalaman Nakamura di Eropah mengubah stail permainannya menjadi lebih fizikal.

Hasilnya, Nakamura berjaya menjadi pemain paling penting dalam skuad Jepun kendalian Zico. Nakamura turut berjaya menggantikan Hidetoshi Nakata sebagai perancang utama pasukan Jepun.

Debut di Celtic

Sebelum debutnya menentang Dundee United, Nakamura memberitahu wartawan Jepun yang beliau gementar. Jangkaan peminat Celtic yang besar menakutkannya. Tahap kecergasannya masih belum 100%.

Buku program perlawanan Celtic pula tersilap cetak gambar Nakamura pada perlawnaan itu. Sepatutnya gambar Nakamura berada di tengah-tengah buku.

Sebaliknya Celtic mencetak gambar Du Wie; pemain China yang menjalani trial di Celtic pada ketika itu.

Tetapi Nakamura mengakhiri debutnya dengan anugerah pemain terbaik perlawanan. Walaupun tidak menjaringkan gol dan membuat assist, Nakamura merupakan duri dalam daging Dundee United.

Sentiasa memulakan gerakan bahaya Celtic dengan hantarannya. Rajin bertahan bersama pasukannya. Nama Nakamura mula masuk dalam lagu sorakan penyokong Celtic.

Lagenda Celtic

Sehingga kini, penyokong Celtic masih mengenang sumbangan Nakamura kepada pasukan mereka. Sepakan percuma ketika menentang Manchester United. Voli 30 meter ketika Old Firm Derby.

Jangan lupa sepakan percuma minit-minit terakhir ketika menentang Kilmarnock. Sepakan itu membolehkan Celtic menjadi juara liga.

Gol sepakan percumanya membolehkan Celtic layak ke pusingan 16 pasukan terakhir Champions League 2006/2007 dan juara liga 2006/2007.

Kembali ke Yokohama

Selepas 8 tahun berkelana di Eropah, termasuk semusim yang penuh dengan kecederaan bersama Espanyol, Nakamura pulang ke Yokohama F. Marinos. Nakamura berpendapat pulang ke Yokohama adalah satu-satunya cara beliau untuk ke Piala Dunia 2010.

Selepas bersara daripada skuad kebangsaan yang bertanding dalam kempen Piala Dunia 2010, Nakamura menumpukan kariernya bersama Yokohama. Sehingga kini, beliau adalah kesebelasan utama pasukannya.

Kesimpulan

Salah satu sebab mengapa Nakamura dihormati pemain dan disayangi peminat adalah kerana sifat merendah dirinya. Meskipun dianggap lagenda, beliau mengaku permainannya masih mempunyai kelemahan.

“Saya tak boleh kekalkan keseimbangan badan ketika menggelecek dengan laju,” kata Nakamura ketika melihat Shinji Kagawa menggelecek dalam video ini.

Shunsuke Nakamura. Lagenda.

Baca juga: BAGAIMANA J LEAGUE MEMACU KEMAJUAN BOLA SEPAK JEPUN

Anda mahu menulis tentang bola sepak? Tulis apa-apa sahaja pasal bola sepak dan hantar artikel tulisan anda ke semuanyabola@gmail.com. Kami akan siarkan di laman web kami.

The post Shunsuke Nakamura: Lagenda Yang Terlalu ‘Kurus’ Untuk Troussier appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA