3 Perkara Yang Seorang Penyokong EPL Belajar Daripada Pengalaman Gary Neville Di Valencia

Sebagai seorang bekas pemain yang hanya menghabiskan kariernya di England, adalah normal bagi Gary Neville untuk mempunyai kesukaran berkomunikasi dengan pemain-pemainnya yang tidak memahami bahasa Inggeris.

Tetapi keputusan pihak pengurusan Valencia untuk memecat pengurus di tengah-tengah musim dan menggantikannya dengan pengurus yang langsung tak boleh bercakap bahasa Sepanyol seperti Neville, adalah tidak normal bagi saya.

Jika Neville tidak menjadi, ia bukan saja menjejaskan prestasi Valencia. Malah ia menjejaskan portfolio Neville dan merosakkan hubungan pemilik dengan penyokong Valencia.

Anda boleh lihat sendiri betapa sukarnya Neville untuk berkomunikasi dengan pemain-pemainnya dalam video di bawah.

Maka tak hairanlah, Neville baru mengecapi 3 kemenangan sepanjang 12 perlawanan Valencia yang dikendalinya.

Malah sehingga kini, Valencia belum pernah menang 1 perlawanan liga pun lagi di bawah Neville.

Di sebalik rekod kemenangannya yang tak memberansangkan setakat ini, anda tak boleh nafikan betapa bekerja kerasnya Neville di Valencia.

Baca: Gary Neville Keluar RM130,000 Sendiri, Belanja iPad Kepada Semua Pemain Valencia

Saya berpendapat ada beberapa perkara tentang Neville yang boleh kita pelajari.

1. Jangan jadi ketam

Saya nampak persamaan antara cabaran Gary Neville di Valencia dengan kisah ketam yang saya pernah baca dalam buku Everything That Happens to Me is Good tulisan Geoff Thompson.

Dalam buku tersebut penulisnya menceritakan apabila nelayan berjaya menangkap ketam dan mengumpulnya dalam bakul, bakul tersebut tidak perlu ditutup, walaupun ada ketam yang akan cuba memanjat dinding bakul untuk keluar.

Mengapa?

Ini kerana apabila ada ketam yang cuba memanjat dinding bakul untuk keluar, ketam-ketam yang lain akan menariknya masuk semula ke dalam bakul semula.

Kemudian ketam yang gagal keluar tersebut akan menarik ketam lain yang cuba melarikan diri.

Di England, Neville sudah selesa dan terkenal sebagai pembantu jurulatih England dan pundit di Sky Sports. Beliau tidak mempunyai sebab untuk meninggalkan semua ini untuk kerja di negara asing, liga asing, bersama pemain yang asing.

Tetapi Neville masih mahu mencuba? Mengapa?

Ini kerana sudah menjadi DNA Neville untuk mencuba, mencari cabaran dan bekerja keras. Ini adalah kualiti yang boleh kita contohi untuk berjaya dalam hidup.

Untuk berjaya, kita perlu sentiasa mencuba, mencari cabaran dan bekerja keras. Kita tak boleh sentiasa berada di zon selesa seperti ketam yang tak mahu keluar bakul.

Untuk berjaya, kita perlu keluar dari ‘bakul ketam’ kita. Keluar dari zon selesa kita.

2. Komunikasi adalah elemen penting dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan

Bijak dalam aspek teori taktikal dan teknikal adalah satu hal.

Tetapi bijak berkomunikasi dengan pemain untuk menyampaikan apa yang anda mahu dari segi taktikal dan teknikal adalah satu hal yang lain pula.

Carlo Ancelotti pernah berkata:

“Komunikasi adalah kunci. Bola sepak adalah sukan yang penuh dengan idea. Jika anda tak tahu bagaimana nak sampaikan idea ini, anda tak boleh menjadi jurulatih.”

Gary Neville mungkin berpengetahuan luas dan mempunyai banyak idea, tetapi bagaimana beliau nak sampaikan ilmu dan ideanya jika pembantunya Miguel Angel Angulo sendiri pun tak faham bahasa Inggeris?

Jadi satu-satunya pilihan Gary dan Phil Neville adalah belajar bahasa Sepanyol dari kosong. Dan untuk memastikan komunikasi antara Neville dengan pemain-pemainnya menjadi berkesan, ia memerlukan masa.

Bagi saya, kegagalan Valencia untuk menang dalam perlawanan liga setakat ini bukannya kerana pemain Valencia tak faham apa yang Neville cakap.

Sebaliknya, ia kerana Neville masih belum mampu menterjemahkan apa yang terbuku dalam otaknya ke otak pemain-pemainnya.

Mungkin kerana kekurangan pengalaman Neville sebagai pengurus pasukan. Mungkin juga kerana kelemahan skil interpersonal communication Neville sendiri.

3. Peter Lim perlu lebih fikirkan tentang penyokong Valencia

Saya cuba berfikir dari perspektif penyokong Valencia.

Alangkah malangnya apabila pemilik kelab mereka, Peter Lim menjadikan Valencia sebagai platform menzahirkan kecintaannya terhadap Manchester United.

Kefanatikan Peter Lim terhadap Manchester United bukan satu rahsia lagi.

Beliau pernah membeli 50% syer kelab Salford City. Pemegang syer Salford City yang lain adalah Phil Neville, Gary Neville, Paul Scholes, Ryan Giggs dan Nicky Butt.

Beliau juga merupakan pemegang hak imej Cristiano Ronaldo dan pernah menderma dalam projek kebajikan Hotel Football yang diketuai oleh Gary Neville dan Ryan Giggs.

Malah hubungan rapatnya dengan ejen pemain, Jorge Mendes menyebabkan Valencia dipenuhi oleh banyak pemain-pemain yang berada di bawah naungan Mendes.

Antaranya ialah Joao Cancelo, Zakaria Bakkali, Danilo, Aymen Abdennour, Rodrigo dan Enzo Perez.

Ini menyebabkan Valencia dipenuhi oleh pemain yang taat setia kepada ejen, bukannya kepada kelab dan penyokong Valencia. Masakan tidak, ejen mereka adalah kawan baik Peter Lim!

Inilah impak yang perlu ditanggung oleh penyokong apabila kelab bola sepak mereka menjadi perniagaan tanpa jiwa atau dalam bahasa orang putih, business without soul.

Baca juga: 5 Perkara Yang Seorang Penyokong Perak Belajar Daripada Final Piala Malaysia 2015

The post 3 Perkara Yang Seorang Penyokong EPL Belajar Daripada Pengalaman Gary Neville Di Valencia appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA