Rio Ferdinand: Selepas Latihan Pertama, Kami Tak Rasa Vidic Pemain Yang Bagus Pun!

“Dari negara mana dia datang?”

“Dia taklah bagus mana pun!”

Menurut Rio Ferdinand, inilah komen-komen yang dibuat oleh pemain-pemain Manchester United selepas melihat Nemanja Vidic beraksi dalam sesi latihan buat kali pertama di Carrington.

Cabaran Vidic selepas tiba di United

Dalam tribute kepada pasangan pertahanannya, Ferdinand turut mendedahkan cabaran yang diterima oleh Vidic dalam latihan setiap hari selepas mendapat komen buruk daripada pemain United lain dalam latihan pertama.

“Anda perlu ingat, dia bermain menentang penyerang hebat (Cristiano Ronaldo, Robin van Persie, Louis Saha, Wayne Rooney) dalam latihan setiap hari.”

“Ia satu cabaran yang besar untuk pemain dari liga Rusia.”

“Tapi bilik persalinan adalah dunia yang kejam di mana anda akan dikutuk tanpa belas kasihan (jika bermain dengan buruk dalam sesi latihan). Dan Vidic telah dikutuk!”

Ferdinand memuji kekuatan mental Vidic yang berjaya tahan kutukan pemain-pemain United ketika baru berpindah. Menurutnya, Vidic berusaha keras dari segi mental dan fizikal untuk berjaya di Manchester United.

“(Daripada dikutuk hinggalah) menjadi pemain penting, Vidic telah bekerja keras di gimnasium untuk menjadi pemain utama pasukan dan berjaya di Premier League.”

Gaya permainan Vidic sesuai dengan Ferdinand

“Saya sering ditanya mengenai kerjasama kami. Adakah kami melakukan latihan spesifik dan sebagainya….(sejujurnya) tiada. Kerjasama kami datang secara semulajadi.”

Staf pencarian bakat (scouts) Manchester United dan Sir Alex Ferguson perlu diberi pujian kerana berjaya mencari pasangan ‘semulajadi’ untuk Rio Ferdinand di bahagian pertahanan.

Menurut Ferdinand, kerjasama mereka berhasil kerana gaya pertahanan Vidic yang berlainan dengan gaya pertahanan beliau.

“Dia (Vidic) sangat agresif, suka menyerang bola pertama di dalam kotak atau luar kotak dan bertarung dengan penyerang lawan.”

“Saya pula lebih suka mengambil bola kedua dan membantu dia dari belakang.”

Maka tidak hairanlah, pasangan Vidic dan Ferdinand berjaya membentuk asas pasukan Manchester United yang memenangi 5 kejuaraan liga, 1 trofi Champions League, 1 trofi Club World Cup dan 3 trofi League Cup.

Kerjasama mereka adalah contoh klasik pembahagian tugas antara 2 pertahanan tengah – Vidic sebagai stopper, Ferdinand sebagai covering defender.

Pasangan kegemaran Ferdinand

Menurut Ferdinand lagi, Vidic adalah pasangan pertahanan tengah kegemarannya. Beliau memberitahu mengapa.

“Dia menjadi pemain pertahanan yang ditakuti, dia boleh bersaing dengan penyerang besar, dia tak segan-segan melayangkan badan untuk membentes.”

Ferdinand bukan sahaja memuji kehebatan Vidic dalam aspek pertahanan, malah mendakwa Vidic tidak mempunyai masalah memegang bola.

“Saya boleh senyum dan kata, dia juga boleh memegang bola. Ini membuatkannya menjadi pemain pertahanan yang lengkap dan bagus.”

“Orang selalu cakap Vidic adalah pertahanan agresif dan kuat, tetapi tidak memuji kebolehannya memegang bola sehingga membuatkan Vidic meluat!”

Vidic bersara

Walaupun kelab terakhir Vidic adalah Internazionale, beliau memilih laman web rasmi Manchester United untuk mengumumkan persaraannya secara rasmi.

Vidic mendedahkan masalah kecederaannya adalah punca beliau mengumumkan persaraan pada umur 34 tahun.

Bagi penyokong United, Vidic sentiasa akan diingati sebagai:

1. Pemimpin Manchester United sehingga diberi kepercayaan oleh Sir Alex Ferguson untuk menjadi kapten pada musim 2010/2011.

2. Pemain dan individu yang berani sehingga pernah menyuarakan hasratnya untuk menyertai perang Kosovo.

3. Pemain yang menghantar Kyle Warker terbang

4. Pemain yang boleh menjadi match winner

5. Salah satu pemain penting dalam sejarah kejayaan Manchester United

Untuk meminjam kata-kata Ferdinand, kami ingin mengucapkan: selamat datang ke dunia persaraan, bro!

Baca juga: Wayne Rooney Tampar Bintang WWE Kerana Kutuk Penyerang Manchester United

The post Rio Ferdinand: Selepas Latihan Pertama, Kami Tak Rasa Vidic Pemain Yang Bagus Pun! appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA