kevinsemuanyabola2-compressed

Temuramah Eksklusif Bersama Kevin Ramalingam, CEO FMLLP (Siri 3/3)

kevinsemuanyabola2-compressed

SB: Kami sentiasa mengharapkan penggunaan data statistik dari syarikat seperti Opta dapat dilakukan di liga tempatan untuk memberi peluang kepada pasukan dan peminat seperti kami untuk membuat analisis yang tepat dan berkualiti. Kejohanan AFF Suzuki 2014 pernah menggunakan servis Opta. Adakah liga tempatan bakal menggunakan servis Opta pada masa akan datang?

KR: Ya. Saya sudah mengatur perjumpaan dengan wakil Opta pada 3 Julai 2015 ini. Kami sentiasa melihat apa yang dilakukan oleh liga-liga luar untuk memperbaiki mutu dan kualiti liga. Saya juga peminat bola sepak. Jadi saya juga mahu tengok pemain mana yang mencatatkan jarak larian paling jauh per 90 minit dan statistic-statistik lain yang tidak wujud di liga tempatan ketika ini.

opta-logo

Kami sedang berusaha untuk membawa Opta ke liga tempatan. Cuma berikan kami masa dan ruang untuk mencari bajet kerana servis mereka bukannya murah (ketawa). Jadi kami perlu mencari tajaan walaupun sebenarnya saya mahu perkara ini dilaksanakan secepat mungkin. Bila Opta sudah masuk di liga kita, anda akan tahu kami sudah mendapat tajaan.

SB: Kami mendengar peraturan gaji siling (salary caps) akan dilaksanakan selepas liga akan diswastakan nanti. Adakah ini berita benar?

KR: Saya juga mendengar berita ini tetapi ia bukan datang daripada kami. Kami sedar ketika ini di liga, ada trend perbelanjaan besar oleh pasukan yang ada kemampuan. Tetapi yang paling merisaukan adalah, trend ini juga diikuti oleh pasukan yang tiada kemampuan.

Kami akan berjumpa dengan semua pasukan untuk menunjukkan kepada mereka bagaimana kelab-kelab di Jepun dan Jerman mengurus kewangan pasukan mereka dengan efisien. Kami juga mahu menunjukkan mereka cara pengurusan pasukan yang betul supaya mereka mampu menjana keuntungan atau paling kurang, mendapat break even.

Satu perkara yang pasukan-pasukan kita perlu ubah adalah cara mereka mengurus kontrak pemain dan staf. Kami akan mendidik mereka dalam hal ini. Jika kami tidak mendidik pasukan-pasukan kita cara pengurusan kontrak yang betul, RM2 juta setahun yang mereka minta daripada FAM pun takkan cukup. Itu jumlah minima yang mereka mahu sekarang. Sebelum ini, mereka menerima RM500,000 setahun.

Saya tiada masalah jika pasukan mereka berkemampuan untuk membayar gaji tinggi kepada pemain mereka. Tetapi apabila trend ini terjebak ke pasukan-pasukan yang tiada kemampuan, ini mendatangkan masalah kerana defisit bajet mereka boleh melangkaui RM3-4 juta.

Jika FAM memberi RM2 juta seperti yang diminta oleh mereka pun, bajet mereka masih lagi menunjukkan defisit.

Sebagai perbandingan, saya akan beritahu senario yang berlaku di J League 1 (J1). Setiap pasukan yang bermain di J1 perlu membayar USD400,000 setahun untuk bermain di J1. Apabila liga J1 menjana keuntungan, setiap pasukan akan menerima USD2.5 juta sebagai habuan.

Ini bermakna daripada bayaran USD400,000 yang mereka bayar, mereka mendapat jumlah keuntungan sebanyak USD2.1 juta setahun.

Jadi kita perlu melihat kepada diri kita sendiri sebelum mula menyalahkan orang lain kenapa pasukan kita tak buat keuntungan.

Kami tak merasakan ada keperluan lagi untuk melaksanakan polisi salary caps di liga kita. Bagi kami, mendidik pasukan tentang cara pengurusan kewangan yang betul lebih penting pada peringkat awal ini.

Jika kami melaksanakan polisi salary caps pun, kami takkan melaksanakannya kepada pemain. Kami akan melaksanakannya kepada pasukan.

Kami takkan laksanakan peraturan yang menetapkan pemain hanya boleh menerima gaji RM20,000 sahaja misalnya. Sebaliknya kami akan memastikan jumlah perbelanjaan (total expenditure) pasukan tidak melebihi jumlah yang kami tetapkan. Contohnya, pasukan hanya boleh membelanjakan maksimum RM7 juta setahun sahaja untuk gaji pemain.

SB: Ramai peminat bola sepak tempatan mahukan Lions XII dikeluarkan daripada Liga Super kerana peraturan AFC menetapkan sesebuah liga tempatan tidak boleh ada pasukan kebangsaan. Akibatnya, juara Liga Super tidak boleh mendapat slot automatik ke ACL dan hanya mendapat slot pusingan kelayakan sahaja. Apa komen anda?

KR: Kemasukan Lions XII sudah dibuat sebelum penswastaan liga lagi. FAM dan Singapore FA mempunyai banyak perjanjian yang berkait. Jadi saya tiada kuasa untuk memutuskan Lions XII tidak boleh bermain di Liga Super. Ianya tidak semudah berkata ‘tidak’.

Tetapi jika kehadiran Lions XII menyebabkan pasukan kita sukar untuk layak ke ACL, kita akan tangani isu ini dengan serius.

11731493_10205983355757511_573819610_o

SB: Dalam buku Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia – sebuah buku yang sangat popular di kalangan peminta bola sepak tempatan – penulisnya mencadangkan setiap pasukan yang bertanding dalam liga untuk mewakili daerah-daerah di Malaysia.

Sebagai contoh, Sime Darby FC menjadi Sime Darby-Tanjung Malim. Felda United FC menjadi Felda United Jengka FC. Ini adalah untuk mencipta rasa kekitaan (sense of belonging) di kalangan komuniti setempat yang akan menyokong mereka. Apa pendapat anda tentang cadangan ini?

KR: Saya sokong cadangan itu. Saya sokong dengan cadangan bahawa pasukan perlu memenangi hati komuniti setempat kerana inilah yang dilakukan di J League.

Tetapi kita perlu melihat senario bola sepak di Malaysia yang lebih berasaskan negeri. Dan penyokong bola sepak kita pun sudah biasa menyokong negeri kelahiran/negeri mereka dibesarkan. Jika kita mempunyai pasukan Sime Darby Tajung Malim FC contohnya, adakah penyokong Perak (di Tanjung Malim) bersedia untuk menerima perubahan ini? Adakah mereka boleh menyokong pasukan daerah mereka daripada menyokong pasukan negeri mereka?

Dan kita juga perlu menjangka kesukaran pasukan kelab ini untuk menarik hati komuniti setempat yang sudah lama menyokong pasukan bola sepak negeri mereka.
Tetapi saya dapat melihat banyak kebaikan yang akan datang daripada cadangan ini. Saya harap satu hari nanti kita boleh laksanakannya.

SB: Penulis buku ini juga mencadangkan supaya pasukan negeri mewakili ibu negeri masing-masing. Sebagai contoh, Selangor FA bakal menjadi Shah Alam FC. Perak FA bakal menjadi Ipoh FC. Adakah anda merasakan perkara ini boleh berlaku pada masa akan datang?

KR: Ya, ia boleh dilakukan. Tetapi realiti penswastaan liga perlu diambil selangkah demi selangkah dahulu. Persatuan bola sepak negeri masih melihat pasukan negeri sebagai komponen penting dalam organisasi mereka.

Langkah pertama yang perlu diambil oleh persatuan bola sepak negeri selepas penswastaan liga adalah membenarkan penswastaan pengurusan pasukan negeri mereka pula. Jika mereka dapat melakukan langkah pertama ini, kita akan dapat lihat kemungkinan ada pertukaran nama pasukan negeri seperti yang dicadangkan oleh penulis buku tersebut.

Tetapi buat masa ini, pengurusan persatuan bola sepak negeri masih lagi mahu mengurus pasukan negeri mereka secara langsung. Saya tak boleh paksa mereka untuk melepaskan pasukan negeri mereka kepada pihak swasta. Apa yang saya boleh buat adalah memberitahu mereka kelebihan menswastakan pasukan negeri mereka daripada menguruskan pasukan negeri mereka secara langsung.

SB: Apa pula pandangan anda kepada cadangan menjadikan kelab-kelab daerah di Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) sebagai feeder clubs kepada pasukan negeri di Liga Super?

KR: Jika anda melihat zaman keemasan pasukan negeri sebelum ini pun, ia berlaku ketika zaman keemasan liga negeri mereka.

Sebagai contoh, Liga Dunhill Selangor banyak membekalkan pemain berkualiti kepada zaman keemasan pasukan Selangor. Zaman keemasan Perak juga ada kaitannya dengan pemain-pemain kelab Kinta India Association di liga negeri Perak ketika itu.

Liga-liga kecil ini banyak membekalkan pemain berkualiti untuk pasukan negeri mereka.

Tetapi untuk mengulangi kejayaan dan sumbangan liga-liga negeri ini, ia harus diuruskan dengan baik sebagaimana pengurusan Liga Dunhill Selangor dan Liga Kinta India Association. Oleh sebab itu, jika LBR diuruskan dengan baik, pasukan negeri di Liga Super dan Perdana juga akan mendapat faedahnya.

SB: …dan pasukan kebangsaan juga.

KR: Ya sudah tentu. Bila pasukan negeri mempunyai pemain yang bagus, pasukan kebangsaan kita juga bakal menerima faedahnya.

Baca:

Siri 1/3: Kevin menjelaskan perubahan dan salah faham tentang isu penswastaan liga.

Siri 2/3: Kevin menjawab isu pembangunan bakat muda yang hanya menerima RM7 juta dan masa depan graduan akademi NFDP.

The post Temuramah Eksklusif Bersama Kevin Ramalingam, CEO FMLLP (Siri 3/3) appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *